Friday, October 23, 2009

SAHABAT

Sahabat. Sukar untukku mencari makna sebenar-benarnya. Aku masih tercari-cari apa itu yang dikatakan, diluahkan, dibicarakan dan dilafazkan dengan perkataan “sahabat”. Apa yang aku pasti, ianya begitu penting dalam hidupku, sama pentingnya seperti keluargaku. Tapi, apa yang membuatkan sahabat begitu penting dalam hidupku?. Aku masih berfikir lagi. Makin lama ku cari pengertian sahabat ini, makin sukar ku rasakan untukku menemui jawapannya kerana semakin luas makna yang tersirat. Terlalu subjektif.

Aku begitu bertuah mempunyai sahabat-sahabat yang sentiasa berada di sisiku walau dalam apa jua keadaan. Justeru, aku perlu mengekalkan pertalian sahabat ini kerana apa yang pernah aku baca dan dengar, Islam juga menitikberatkan soal sahabat.

“Tidaklah sempurna iman seseorang itu apabila dia masih belum boleh mencintai saudaranya (sahabat) seperti dia mencintai dirinya sendiri.”

Fahamanku semakin bertambah selepas aku membaca makna hadis itu. Sahabat ini bukan soal, perkara yang remeh. Bukan bahan atau perkara mainan. Sangat penting dalam hidupku. Itu yang aku tahu.

Kadang-kala aku terlupa apa itu ertinya ikatan persahabatan. Bila berada di depan mataku, aku sering terlupa dan leka bahawa dialah sahabat, insan yang sangat akrab denganku, tetapi apabila berjauhan, barulah aku berasa rindu dan pada masa itu, barulah aku teringat kembali segala kenangan manis, suka dan duka bersama. Padaku, sahabat yang baik memang sungguh susah dicari, lebih sukar untukku tinggalkan dan seperti mustahil bagiku untuk melupakannya. Pernahku terfikir, apa yang aku miliki di dunia ini tak akan bermakna tanpa hadirnya sahabat yang sentiasa bersamaku. Tapi apa yang harus aku lakukan untuk mendapat insan bergelar sahabat yang benar-benar memahami apa itu maknanya persabatan?.

Aku mencari pula bagaimana caranya untukku mendapat sahabat yang sejati. Bukan satu perkara yang mudah. Jika aku ingin menawan hati seseorang supaya menjadi sahabat karibku, aku mesti yakinkan kepadanya dahulu bahawa aku adalah sahabat karibnya. Itu yang aku tahu dan itulah yang pasti. Sebuah buku pernah aku baca dan buku itu ada menghuraikan dan menyatakan bahawa persahabatan itu mempunyai tiga perkara yang utama iaitu, pertamanya apabila ianya (sahabat) mendekatimu, sambut kedatangannya. Kedua, apabila ia (sahabat) berbicara, dengarlah dengan penuh tumpuan terhadap segala percakapannya. Ketiga pula, apabila ia (sahabat) duduk, luaskanlah tempat baginya.

Barulah aku sedar yang selama ini aku tidak memenuhi tiga perkara itu dalam bersahabat. Adakah aku ini layak untuk dijadikan atau digelar sahabat kepada sahabat-sahabatku?. Aku perlu berubah. Tiga perkara ini perlu aku penuhi andai kata aku masih lagi mahu menemui sahabat sejati dalam hidupku. Selama ini, aku sering saja mencelah apabila sahabatku berbicara. Aku tidak menyambut kedatangannya bahkan aku sering saja mengendahkan kehadiran sahabat-sahabatku. Apa yang telah aku lakukan ini telah melanggar “peraturan” dalam bersahabat.

Aku terus mencari dan terus mengkaji apa itu yang dimaksudkan dengan perkataan sahabat. Apa yang aku perlu ada dan perlu cari dalam bersahabat?. Aku menemui satu sifat yang wajib dimiliki olehku dan sahabat-sahabatku untuk menjadikan perhubungan semakin erat dalam bersahabat. Amanah dan tidak mungkir janji. Itulah sifatnya.

“Selama mana teguh memegang rahsia, selama itu masih terpegang kebaikkan ditangannya”.

Jadi, aku perlu amanah, berpegang teguh pada janji supaya akan terpegang kebaikkan kepadaku di dalam bersahabat. Bukan perkara yang mudah untuk dilaksanakan tetapi aku akan cuba sedaya upayaku supaya akan aku temui sahabat yang benar-benar faham apa itu ertinya ikatan persahabatan. Aku sentiasa dipesan dan diingatkan supaya mencari sahabat yang jujur kerana dengan jalan yang demikian aku akan hidup terpelihara daripada bahaya dan kepada sahabat yang jujur itulah tempatku kembali ketika datang bencana atau musibah ke atas diriku.

Semulia-mulia sahabat adalah sahabat yang mengetahui kemahuanku sebelum aku katakan kepadanya dan memperkenankan permintaanku sebelum aku memintanya. Sukar untuk mendapat sahabat seperti itu tapi itu bukan sesuatu yang mustahil. Aku juga sedar bahawa aku masih lagi belum berhak, layak untuk mendapat sahabat-sahabat seperti itu. Jika semua sahabat-sahabatku seperti itu, alangkah indahnya dan manisnya hidupku ini. Pengubat jerih dan kesusahanku adalah dua perkara iaitu pertamanya iman kepada yang Esa dan keduanya percaya kepada sahabat. Aku akan sangat bahagia dan gembira apabila ada sahabat yang boleh aku percaya.

Satu ungkapan atau perumpamaan kepada insan yang tidak menghargai nilai persahabatan telah ku temui. Aku sangat berharap, aku tidak akan bersahabat dengan manusia sebegini dan aku akan cuba untuk tidak menjadi seperti perumpamaan ini.

“Sahabat yang selalu bersikap seperti udang disebalik batu terhadap kamu adalah umpama anjing di tepi jalan, yang ditujunya hanyalah tulang yang akan dilemparkan kepadanya, bukan tangan yang melemparkan tulang itu”.

Antara dua insan yang inginku miliki, kekasih hati atau sahabat sejati, pastinya sahabat sejati kerana setianya sukar untukku temui. Mencari seorang sahabat bagiku bagaikan mencari sebiji benih di dalam semak yang berduri. Aku harus sedia dilukai, aku tidak boleh sesekali mengalah untuk terus mencari dan apabila telah ku jumpai benih itu, akan aku bajainya sepenuh hati. Aku tak akan pernah memiliki seorang sahabat jika aku mengharapkan seseorang tanpa kesalahan kerana semua manusia itu baik kalau aku dapat melihat kebaikkannya dan menyenangkan kalau aku dapat melihat keunikannya tetapi semua manusia itu akan buruk dan membosankan kalau aku tidak dapat melihat kedua-duanya. Aku tidak pernah memandang rendah erti persahabatan kerana aku tahu di dalam hidupku ini, aku tidak akan mampu melangkah tanpa sahabat di sisiku.

Wahai sahabat-sahabatku, janganlah kalian semua pergi dari hidupku ini. Sesungguhnya, kamu semua, sahabat-sahabatku begitu penting dan bermakna kepadaku. Aku tidak tahu apa yang akan berlaku andai aku tidak mempunyai insan yang bergelar sahabat. Jadi, aku perlu berusaha menjaga adap-adap dan peraturan-peraturan bersahabat supaya kalian semua tidak hilang dan pergi dari “pegangan” ku. Ya Allah, sesungguhnya Engkau yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kau kurniakanlah kepada sahabat-sahabatku kekuatan rohani dan jasmani supaya mereka semua dapat membimbingku dan dapat menenteramkan jiwaku ini. Sahabat-sahabatku, hanya itu sahaja yang aku mampu berikan kepada kamu semua. Doa pada Yang Esa. Aku tidak mampu memberikan apa-apa yang bernilai kepada kamu semua. Hanya ingatan, sokongan, panduan, pengajaran, jalan, laluan, haluan sahaja yang dapat aku berikan. Terima kasih di atas segala apa yang telah kamu semua berikan kepadaku. Andai kata tersilap, haraplah dapat diampunkan. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku, dan kamu semua adalah sahabat sejati bagiku.

Sahabatku, kau akan sentiasa di dalam ingatanku dan aku akan cuba tidak melupakan kamu semua. Itulah janjiku kepada kamu semua dan akan ku cuba tunaikankannya. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment